KLUANG, 19 Februari - Semua pengendali syarikat telekomunikasi (telco) diminta untuk melabur semula dan menaik taraf liputan serta perkhidmatan telekomunikasi supaya menjadi lebih berkualiti.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata syarikat telco seharusnya perlu lebih serius memastikan perkhidmatan disediakan berada pada tahap terbaik dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata.
"Berdasarkan laporan diterima daripada syarikat tersebut (telco), rangkaian internet negara berada pada tahap 98 peratus namun masih terdapat rungutan masalah liputan oleh pengguna.
"Kita mahu tengok ada perkhidmatan yang baik daripada semua telco yang kita lesenkan dan saya mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat audit, semak prestasi perkhidmatan telco kerana undang-undang membolehkan kita mendenda, kompaun syarikat yang tidak memenuhi apa yang ditetapkan," katanya selepas melancarkan Pusat Ekonomi Digital, PeDI Keluarga Malaysia di Felda Kahang Barat, di sini.
Tambah Annuar,pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi setiap syarikat telco bagi membincangkan perkara tersebut.
Sementara itu, Annuar berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang menambah sekurang-kurangnya 15 hingga 20 unit peranti di semua PeDI seluruh negara.
Katanya, langkah itu sebagai nilai tambah selain meningkatkan kebolehgunaan dan penyertaan masyarakat dalam aktiviti ekonomi digital.
"Sekarang ini ada 20 komputer meja, jadi pengguna terhad kepada 20 pada satu-satu masa. Kalau ada lagi 15 hingga 20 tablet, komuniti boleh gunakan di sini atau pinjam bawa balik untuk menggalakkan mereka membuat aktiviti susulan kerana prosedur operasi standard tidak boleh ramai di dalam pusat," katanya.
Tambahnya, ketika ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang dalam proses perolehan.