KOTA BHARU, 19 Februari - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM300 juta dalam pelaksanaan Lebuh Raya Rakyat di Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab membabitkan jajaran sepanjang 10 kilometer (km).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata peruntukan berkenaan sudah diluluskan di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dijangka bermula pada April ini dan memerlukan tempoh 36 bulan untuk disiapkan.
"Kerajaan negeri sudah menyiapkan kira-kira 35 peratus maknanya tidak 100 peratus dari kerajaan pusat,tender sudah pun keluar,"katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) di Kok Lanas, di sini.
Beliau berkata, Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai membabitkan jajaran 67.56km dengan anggaran kos keseluruhan RM2.7 bilion dijangka siap pada 2025 dan akan bersambung dengan projek Central Spine Road yang bermula di Kuala Krai.