KUALA LUMPUR, 19 Februari - Kerajaan sedang melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak termasuk para majikan berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
Langkah tersebut bagi membolehkan ia dilaksanakan secara holistik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak terutama dalam memastikan hasrat gaji minima itu mengambil kira pertimbangan secara menyeluruh.
Antaranya dengan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan majikan.
Perdana Menteri juga menafikan bahawa kerajaan melindungi majikan kerana dalam usaha meningkatkan gaji minima, terdapat syarikat khususnya berskala kecil yang tidak mampu.
"Insya-Allah kita prihatin tentang kos sara hidup hari ini yang mungkin perlukan peningkatan, tapi kita tak nak juga oleh kerana peningkatan itu, Perusahaan Kecil Dan Sederhana dan sebagainya tak mampu dan akhirnya buang pekerja, jadi tujuan kita untuk membantu pekerja, akhirnya mereka dibuang kerja kerana majikan tak mampu nak bayar gaji, jadi kita akan tengok pertimbangan keseluruhan, kepentingan pekerja dan juga pandangan majikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.