fb fb fb fb fb

PBSMM, AKSB agih kit makanan kepada mereka yang memerlukan di sekitar Kota Bharu

KOTA BHARU, 19 Februari - Bukan sahaja menyediakan khidmat pertolongan cemas tetapi turut mengagihkan kit makanan tengah hari kepada mereka yang memerlukan.

Itu yang dilakukan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Daerah Kota Bharu dengan kerjasama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerusi Program ‘Sebekas Makanan, Ringankan Bebanan’ dengan mengagihkan sebanyak 100 kit makanan kepada penarik beca dan asnaf di sekitar Kota Bharu hari ini.

Kit makanan tengah hari yang dimasak sendiri oleh ahli persatuan itu dan turut diagih secara pandu lalu di Jalan Atas Banggol.

Menurut Pengerusi PBSMM Daerah Kota Bharu, Tuan Harun Tuan Yahya, agihan dibuat bermula pukul 12 tengah hari.

Bagi pengayuh beca dan asnaf, mereka hanya perlu datang mengambil kit makanan tersebut dan terus pulang bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Jelas beliau, program yang bermula sejak akhir Januari lalu itu kini memasuki empat daripada sembilan siri yang akan dilaksanakan sebelum kedatangan bulan Ramadhan nanti.

"Sebenarnya program ini kita mendapat kerjasama dari kerajaan negeri Kelantan dan agensi seperti AKSB dan juga syarikat swasta serta individu-individu, jadi saya bagi pihak Jawatankuasa Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Kota Bharu mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi atau orang perseorangan yang membantu kami dalam menjayakan program ini," kata Tuan Harun selepas mengagihkan kit makanan tersebut, di sini.

 

Media Baharu