fb fb fb fb fb

KPDNHEP,MAFI sedia pelan intervensi pastikan bekalan telur mencukupi

KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sudah bersiap sedia dengan pelan intervensi bagi memastikan bekalan telur ayam di seluruh negara mencukupi untuk kegunaan pada bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata pihaknya menjangkakan permintaan telur ayam akan menjadi lebih tinggi pada waktu itu berbanding hari biasa.

Katanya, KPDNHEP dan MAFI juga akan melaksanakan advokasi berterusan dengan pengusaha telur ayam bagi memastikan kestabilan bekalan menjelang musim perayaan itu.

"Kita sudah maklumkan kepada MAFI untuk diambil tindakan dan saya difahamkan kementerian itu telah ambil langkah untuk pastikan(bekalan telur mencukupi kerana kita tahu menjelang puasa dan raya ramai orang akan buat kuih dan sebagainya, jadi penggunaan telur akan lebih daripada biasa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Restoran Ikan Bakar di Manir di sini.

Dalam pada itu, Rosol berkata pihaknya telah mengesan 95 kesalahan berkaitan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam membabitkan 94 peruncit dan satu pemborong di seluruh negara, dari 5 Feb hingga semalam.

Katanya daripada jumlah itu, 87 kes melibatkan kesalahan tiada tanda harga khas merah jambu, tujuh kes menjual ayam dan telur ayam melebihi harga maksimum dan satu kes tiada tanda harga.

Media Baharu