KUALA LUMPUR, 19 Februari - Kementerian Kewangan memperuntukan sebanyak RM1.7 bilion bagi program jangka pendek (MySTEP) 2022 dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja.
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata MySTEP menyasarkan penciptaan 80,000 pekerjaan tahun ini.
"Pada tahun 2021, berbanding sasaran 50,000 kita berjaya menempatkan lebih 63,000 graduan, di mana 66 peratus ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, manakala 34 peratus di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategiknya.
"Oleh itu, saya berharap pencari kerja akan memanfaatkan segala peluang yang ada melalui MOF dan KSM, samada di karnival atau secara dalam talian melalui portal-portal MyFutureJobs, MySTEP dan UpSkillMalaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen JaminKerja Keluarga Malaysia yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini.
MySTEP adalah antara komponen di bawah inisiatif JaminKerja yang merupakan program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan dikelolakan oleh Agensi LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan.