KUALA LUMPUR, 19 Februari - Dos penggalak dilihat dapat meningkatkan imuniti yang terbina daripada dos primer iaitu dos pertama dan kedua kepada paras optimum terutama kepada warga emas.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr Noraliza Noordin Merican berkata justeru itu golongan tersebut disaran untuk segera mendapatkan suntikan dos itu.
"Kalau kita tengok pada kajian, sekiranya seseorang itu mendapat penyakit COVID-19, setelah menerima dos penggalak, keadaan penyakitnya tidak teruk dan didapati bahawa secara statistiknya kematian pun berkurangan.
"Jadi ahli keluarga perlu menguar-uarkan serta menasihati dan memastikan bahawa warga emas faham kenapa dos penggalak ini penting untuk mereka," katanya kepada RTM.
Dr.Noraliza turut menyatakan warga emas tidak perlu menjalankan pra ujian untuk mengambil dos penggalak sekiranya dua dos pertama tidak mengalami kesan sampingan yang teruk.
Manakala bagi golongan Komorbiditi pula, boleh mendapatkan dos penggalak namun pemantauan berterusan digalakkan untuk memastikan kesihatan mereka terjaga.
"Kalau dia ada darah tinggi, pastikan darah tingginya terkawal. Bagaimanapun mereka masih boleh ambil dos penggalak tapi memerlukan pemerhatian selepas itu," katanya.
Tambahnya, setakat ini hanya vaksin jenis Aztrazeneca, Sinovac dan Pfizer diluluskan sebagai dos penggalak dan warga emas boleh membuat pilihan antara ketiga-tiga vaksin tersebut.
Sehingga kini, 3.5 peratus warga emas di Malaysia masih belum melengkapkan tiga dos suntikan vaksin manakala 1 juta lagi belum menerima dos penggalak.