fb fb fb fb fb

Tahanan mati dalam lokap, tiada unsur jenayah - Polis

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Polis mengesahkan tiada sebarang kecederaan berunsurkan jenayah dikesan dalam kes seorang lelaki tempatan, 49 tahun yang meninggal dunia semasa dalam tahanan di lokap Balai Polis Sungai Besar, Selangor, semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad dalam satu kenyataan berkata, hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Sungai Buloh dan ujian pengesanan COVID-19 si mati adalah negatif.

"Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan berunsurkan jenayah yang dikesan dan punca kematian masih menunggu hasil siasatan makmal.

"Lelaki itu ditahan Khamis lepas bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kira-kira 3.30 pagi Jumaat, anggota yang bertugas mendapati lelaki berkenaan dalam keadaan meniarap serta tidak sedarkan diri dan pasukan perubatan segera dihubungi untuk mendapat rawatan lanjut.

"Pada 4.40 pagi, penolong pegawai perubatan telah hadir dan membuat pemeriksaan ke atas lelaki terbabit dan mengesahkan kematian,"” katanya.

Azri berkata Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

TETITIA YUSOFF