fb fb fb fb fb

Tabung Wakaf MARA MADANI perkasa aspek pendidikan bumiputera

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR, 3 Mac - Tabung Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI bakal memperkasakan aspek pendidikan bumiputera menerusi penawaran pendidikan yang lebih baik dan berkualiti.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menyifatkan instrumen wakaf tersebut lebih mampan dan memberi manfaat untuk jangka masa panjang terhadap golongan sasar.

Beliau berkata inisiatif seumpama itu akan memberi peluang kepada lebih ramai bumiputera untuk mendapat peluang pendidikan sewajarnya.

Seterusnya, melahirkan lebih ramai golongan profesional daripada kumpulan tersebut.

"Penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI ini adalah langkah proaktif yang menjadi satu keadaan yang mana anak anak berjaya cemerlang, ada potensi dapat meneruskan pengajian walaupun daripada keluarga miskin, tidak mampu. Tetapi kemiskinan dan ketidakmampuan itu tidak menjadi alasan anak anak berjaya kerana tabung mara wakaf menjadi penyelesaian masalah kewangan.

"Kepimpinan MARA yang telah menghasilkan dan membawa begitu ramai anak-anak bumputera berjaya sejak 50 tahun lalu oleh MARA, saya percaya dalam masa dua tahun MARA akan dapat menambah, mengembangkan dana ini daripada RM100 juta kepada RM1 bilion.

" Kita mendoakan bukan hanya RM1 bilion, tetapi angkanya akan lebih besar untuk pastikan anak-anak bumiputera dapat menjayakan pendidikan dan akhirnya menghasilkan kumpulan profesional bumiputera yang boleh menyertai pekerjan berimpak tinggi dan memiliki peluang perniagaan," kata Dr Anuar kepada RTM.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, instrumen wakaf menerusi Tabung Wakaf MARA MADANI dilihat inisiatif yang mampan dalam memperkasakan agenda pendidikan dan pembangunan usahawan bumiputera.

Katanya, instrumen wakaf seumpama itu mengajak masyarakat untuk bersama-sama menyumbang, memberi dan memulangkan semula dalam bentuk wakaf untuk dimanfaatkan oleh generasi akan datang

Beliau optimis masyarakat akan memainkan peranan sewajarnya untuk mengembangkan dana Tabung Wakaf MARA MADANI tersebut, sekali gus memberikan manfaat kepada kumpulan sasar.

"Saya menyambut baik usaha kerajaan untuk menjadikan sistem wakaf sebagai sistem yang mampu meningkatkan prestasi ekonomi komuniti bumiputera, kerana inilah satu platform yang boleh membantu meningkatkan sesuatu komuniti atau negara. Yang mana kita lihat terbukti berjaya apabila empayar Abasiyyah atau Uthmaniyyah dulu mampu menjadi empayar yang disegani dan ekonomi berkembang kerana institusi wakaf itu sendiri.

"Apabila kita melihat geran peluncuran berjumlah RM100 juta itu, ianya akan mampu menjadi pemangkin untuk menambahkan lagi dana ke atas wakaf ini kepada RM1 bilion dalam tempoh dua tahun. Ini akan dapat dicapai jika ia mendapat sokongan pewakaf dan masyarakat," kata Ahmed Razman kepada RTM.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersetuju menubuhkan Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI dalam usaha memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan keusahawanan terhadap golongan Bumiputera.

Kerajaan menyediakan geran peluncuran sebanyak RM100 juta dengan sasaran dana terkumpul minimum RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk menjadi penaung kepada tabung wakaf.

Tabung tersebut akan diterajui MARA dan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran MARA selari dengan hasrat penubuhan agensi tersebut.

TETITIA YUSOFF