fb fb fb fb fb

MH370: MOT akan berusaha dapatkan kelulusan kabinet teruskan pencarian - Loke

FOTO HIASAN

PETALING JAYA, 3 Mac - Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi jaminan akan melakukan segala yang mungkin bagi mendapatkan kelulusan Kabinet menandatangai kontrak baharu dengan Ocean Infinity, untuk menyambung semula pencarian pesawat Malaysia Airlines MH730 yang hilang 10 tahun lalu.

Menterinya Anthony Loke berkata kementeriannya itu, akan mengambil tindakan berhubung perkara itu secepat mungkin.

“Saya gembira kerana terdapat sedikit kemajuan dalam beberapa penyelidikan dan teknologi baharu yang telah dibentangkan (kepada kami), dan kami amat berharap pencarian itu akan dapat menemui pesawat itu, serta memberikan perkara sebenar kepada waris terdekat.

“Sekali lagi, kami bersama-sama anda (keluarga mangsa tragedi MH370). Kami akan terus menyokong dan berdiri dalam solidariti dengan semua waris,” katanya semasa berucap pada program MH370: 10 Years Gone yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Loke berkata dia juga telah mengarahkan kementeriannya untuk menjemput Ocean Infinity ke Malaysia, dan memberikan taklimat kepadanya tentang cadangan no cure, no fee, mereka.

“Kami kini sedang menunggu mereka untuk memberikan tarikh yang sesuai dan saya berharap dapat bertemu dengan mereka tidak lama lagi. Kerajaan Malaysia tetap dengan azam dalam pencarian MH370.

“Saya berharap keluarga dan rakan mangsa terus tabah. Kami amat bersimpati dan akan sentiasa berada dalam doa kami. Lebih penting lagi, kami akan menyokong anda,” katanya.

Jumaat ini (8 Mac) genap satu dekad sejak tragedi pesawat itu yang hilang tanpa jejak, menyebabkan banyak persoalan tidak terjawab dan ahli keluarga penumpang berada dalam ketidakpastian.

Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, namun hilang daripada skrin radar kira-kira dua jam setelah berlepas.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi, namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan.

Sementara itu dalam sidang akhbar, Loke menjelaskan kontrak atau cadangan baharu Ocean Infinity mengenai pencarian pesawat itu, perlu dibentangkan dan mendapat kelulusan daripada Kabinet kerana ia melibatkan implikasi kewangan, walaupun ia berdasarkan kepada ‘no cure no fee’.

“Kontrak sebelum ini telah ditamatkan, pencarian itu pada 2017 dan berakhir pada 2018. Sekarang ini cadangan baharu oleh Ocean Infinity, kami mulakan dengan cadangan ini berdasarkan dasar 'no find, no fee'.

“Kami menjangka katakan, bermula pada bulan Jun dengan Ocean Infinity dan kami berharap pesawat itu ditemui dan apabila ia (Ocean Infinity) menemuinya, terdapat implikasi kewangan kepada Malaysia,” kata Loke, sambil menambah bahawa beliau yakin bahawa Kabinet akan meluluskan cadangan tersebut.

Ditanya sama ada Malaysia sudah berbincang dengan kerajaan Australia mengenai perkara ini, beliau berkata Malaysia akan berhubung dengan negara itu selepas Ocean Infinity memuktamadkan cadangannya.

“Buat masa ini, kami masih belum berhubung dengan kerajaan Australia, tetapi apabila Ocean Infinity telah memuktamadkan cadangan mereka, sudah pasti kami perlu berhubung dengan kerajaan Australia untuk mendapatkan kerjasama mereka agar pencarian dimulakan segera,” katanya - BERNAMA

TETITIA YUSOFF