KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Seramai lima pelajar Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal menjadi penerima pertama Tabung Pendidikan dan Biasiswa Alumni UiTM yang akan mula disalurkan pada Mac tahun hadapan.
Pro-Canselor UiTM, Datuk Profesor Emeritus Dr. Hassan Said berkata, inisiatif yang digerakkan oleh Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) itu mencerminkan komitmen berterusan alumni dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya rasa tabung ini satu inisiatif yang sangat baik oleh Persekutuan Alumni UiTM, ia menunjukkan komitmen alumni untuk sama-sama membangunkan pendidikan anak bangsa.” katanya selepas ditemui pada Majlis Pelancaran di sini, hari ini.
Tambah beliau, usaha tersebut bukan sahaja membantu pelajar yang memerlukan, tetapi turut memperkukuh peranan alumni sebagai penyumbang pembangunan institusi.
“Kita lihat peranan alumni ini sangat besar dan di mana-mana universiti di dunia pun, alumni banyak membantu, kita boleh wujudkan satu ekosistem alumni yang lebih kuat dan bermanfaat kepada pelajar.” jelasnya.
Sementara itu, Presiden PAUiTM, Saiful Azhar Shaharun berkata, gerakan alumni UiTM kini semakin diperkasakan di bawah payung Persekutuan Alumni UiTM yang menghimpunkan lebih 40 persatuan di peringkat fakulti, kampus cawangan dan negeri.
“Kita nak menyeru alumni UiTM yang kini berjumlah hampir 900,000 orang, daripada zaman Dewan Latihan RIDA lagi, untuk bersama-sama memberi sokongan dan menyumbang kembali kepada universiti.
"Program ini kita laksanakan bersama Yayasan Budiman UiTM dan ditunjangi oleh para alumni sendiri, supaya kita dapat membantu pelajar-pelajar cemerlang, khususnya daripada golongan B40.” katanya.
Tabung Pendidikan dan Biasiswa Alumni UiTM merupakan usaha strategik PAUiTM yang dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan ikhlas alumni UiTM sebagai tanda komitmen terhadap pembangunan modal insan universiti.
Biasiswa ini menyasarkan pelajar UiTM berpotensi tinggi tetapi memerlukan bantuan kewangan bagi meneruskan pengajian, dengan penekanan kepada pencapaian akademik, kepimpinan, penglibatan kokurikulum serta semangat kesukarelawanan.
Setiap penerima akan menikmati tajaan penuh sepanjang tempoh pengajian, meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, buku dan keperluan pembelajaran lain.