fb fb fb fb fb

Generasi digital perlu pandu teknologi dengan nilai dan tanggungjawab

Foto RTM

KUALA LUMPUR,11 Oktober 2025 - Kemajuan teknologi digital perlu disertai dengan nilai kemanusiaan dan rasa tanggungjawab agar generasi muda tidak menjadi mangsa kepada dunia digital yang tanpa batas.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dunia mutakhir ini telah berubah dengan begitu pantas seiring kemajuan teknologi dan turut membawa cabaran baharu yang perlu ditangani secara efektif.

Tambah beliau, laporan antarabangsa mendapati sebanyak 79 peratus golongan muda berusia antara 15 hingga 24 tahun menggunakan internet setiap hari, menjadikan generasi hari ini sebagai generasi digital sepenuhnya.

“Ketika saya sebaya dengan anda, dunia dibentuk oleh akhbar, pena dan mesin taip. Dahulu, jika saya ingin menghantar surat cinta, saya menggunakan telegram dan ia mengambil masa beberapa hari untuk sampai tetapi hari ini, anda juga menggunakan Telegram tetapi mesej anda tiba dalam beberapa saat.

"Sekarang anda boleh menghantar mesej, emoji, malah membuat panggilan video sebelum dakwat pada surat saya sempat kering", katanya semasa berucap merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa Masa Hadapan (iFUTURE 2025) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Tambah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, teknologi telah membuka pelbagai peluang luar biasa termasuk pekerjaan baharu, pembelajaran tanpa sempadan dan hubungan global tanpa batasan.

Namun, ia perlu dimanfaatkan dengan bijaksana terutama bagi mengelakkan penularan berita palsu, penyalahgunaan data serta kehilangan privasi dan kebenaran.

“Kita tidak boleh menjadi mangsa teknologi sebaliknya mesti memandunya dengan nilai selain tidak gunakan media sosial untuk memecahbelahkan, tetapi untuk menyatukan. Bukan untuk menyalakan kebencian, tetapi untuk menyebarkan harapan", katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kepimpinan sebenar bukan diukur melalui jumlah pengikut, tetapi melalui kebenaran yang dipertahankan.

iFUTURE 2025 berlangsung selama 3 hari bermula 11 hingga 13 Oktober ini dengan menyasarkan penyertaan seramai 800 orang pelajar tempatan dan antarabangsa daripada 60 negara termasuk dari Malaysia, Indonesia, India, China, Mesir, Arab Saudi, United Kingdom dan Kenya.

Trainee