fb fb fb fb fb

T20 tidak akan terima subsidi elektrik dan haji - Anwar

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Golongan berpendapatan tinggi atau T20 tidak akan lagi menerima subsidi yang diberikan kerajaan berkenaan tarif elektrik dan haji.

Bagaimanapun, kerajaan tidak akan menaikkan kadar itu bagi golongan berpendapatan rendah (B40).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pangkalan Data Utama (PADU) akan menyelaras penilaian agihan subsidi tersebut kepada golongan yang layak.

"Pemberian subsidi bersasar juga menjadi isu. Kita tidak naikkan kadar elektrik melainkan untuk golongan T20. Saya jelaskan di sini untuk T20 sahaja iaitu rumah-rumah besar tidak akan diberi subsidi elektrik dan PADU dapat menyelaraskan semua angka-angka yang disebut.

"Kita akan tambah bantuan kewangan haji kepada golongan B40, tetapi bukan kepada golongan T20. Tiada lagi subsidi daripada kerajaan untuk kumpulan ini. Mereka perlu menampung kos haji sepenuhnya kerana mereka dalam kalangan yang mampu," katanya ketika menjawab pertanyaan wakil Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Minggu lalu, Anwar berkata, hanya pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi.

Ia bertujuan untuk mengurangkan beban pengguna domestik terutama golongan B40 dan M40.

Sebelum ini, kerajaan juga bersetuju tidak menaikkan tarif elektrik kecuali kepada pihak industri sektor tertentu.

(Anwar Ibrahim)

Media Baharu