(Foto hiasan)
IPOH, 22 Mei- Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana membuat ancaman bom palsu menerusi e-mel di sebuah pusat membel-belah disini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek, 43, itu ditahan di sebuah rumah di Kampar bersama alat telekomunikasi yang digunakan.
"Satu laporan polis dibuat oleh pengurus premis terbabit pada Ahad selepas menerima e-mel daripada suspek yang menyatakan terdapat ancaman bom di premis berkenaan dan meminta pihak pengurusan mempertingkatkan langkah keselamatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan ancaman bom tersebut adalah palsu.
Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai sejarah penyakit psikiatri dan sedang menerima rawatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek tidak di bawah pengaruh dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Polis turut mengingatkan orang awam agar tidak memberikan maklumat palsu yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
"Sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat hendaklah dielakkan," katanya.
(Yahaya Hassan)