fb fb fb fb fb

MB Perak nafi wujud usaha jatuhkan kerajaan negeri

(Saarani Mohamad)

IPOH, 22 Mei- Sebarang usaha menjatuhkan Kerajaan Pepaduan di Perak dinafikan wujud di negeri itu oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau menegaskan, kerajaan yang dibentuk kini merupakan kerajaan yang kuat dan stabil.

Justeru, beliau menasihatkan semua pihak untuk berpolitik secara bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan persepsi buruk kepada pihak lain.

"Bila digambarkan keadaan kerajaan negeri yang tidak stabil atau digambarkan ada kemungkinan bertukar kerajaan, maka tidak akan ada pelabur yang akan datang ke negeri Perak. Ini sebab, kerajaan yang 'flip flop' (bertukar-tukar) serta pertukaran pemimpin akan menyebabkan pertukaran posisi.

"Jadi, ia akan mengundang kebimbangan, kekhuatiran dan ketidakyakinan dalam kalangan pelabur," katanya dalam sidang media sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Darul Ridzuan di sini.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria mendakwa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan ada datang berjumpa dengannya ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.

Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama ADUN kerajaan yang didakwa berjumpa beliau.

(Sidang media sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak
di Bangunan Darul Ridzuan di Ipoh)

Media Baharu