(Foto Hiasan)
KUALA LUMPUR, 22 Mei- Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi urus niaga Isnin, didorong oleh sentimen berhati-hati yang berterusan dalam kalangan pelabur berikutan rundingan mengenai siling hutang Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.
Pada pukul 9.18 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.28 mata kepada 1,421.26 daripada 1,428.54 pada penutupan Jumaat lepas.
Indeks barometer dibuka 4.92 mata lebih lemah pada paras 1,423.62.
Di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 242 berbalas 132, manakala 270 kaunter tidak berubah, 1,604 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 260.59 juta unit bernilai RM89.59 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur dijangka mengambil sikap berhati-hati walaupun pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell mengulas mengenai kenaikan kadar faedah yang kurang agresif kerana kebimbangan timbul berikutan pemberhentian seketika rundingan mengenai siling hutang AS.
"Semua mata akan tertumpu kepada minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS serta kadar inflasi Malaysia minggu ini," katanya dalam nota hari ini.
Dari segi komoditi, ia berkata minyak mentah brent diniagakan melebihi paras US$75 setong, manakala harga minyak sawit mentah berlegar di bawah RM3,500 satu tan. Harga emas kekal di bawah US$2,000 setiap auns.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Tenaga Nasional dan Press Metal susut tujuh sen kepada RM8.71, RM9.75 dan RM4.71, manakala Public Bank turun dua sen kepada RM3.96 dan Petronas Dagangan menguncup 36 sen untuk mencatatkan paras RM22.24.
Bagi kaunter aktif, Bahvest Resources menokok 2.5 sen kepada 16.5 sen, Jade Marvel meningkat 1.5 sen kepada 23.5 sen dan Iconic Worldwide menokok setengah sen kepada 15 sen, tetapi Ho Wah Genting turun 1.5 sen kepada sembilan sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 42.10 mata kepada 10,432.65, Indeks FBMT 100 susut 42.14 mata kepada 10,128.22 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 38.81 mata kepada 10,790.70.
Indeks FBM ACE pula meningkat 7.22 mata kepada 5,010.12 dan Indeks FBM 70 kerugian 16.16 mata kepada 13,629.59.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.33 mata kepada 164.66, Indeks Perkhidmatan Kewangan lemah 74.48 mata menjadi 15,531.75, Indeks Perladangan lebih rendah 32.20 mata kepada 6,994.35 dan Indeks Tenaga menguncup 0.89 mata menjadi 838.64. - BERNAMA
(Foto Hiasan)