SEPANG, 17 Jun - Laporan penuh berkaitan cadangan peraturan serta kemungkinan penggubalan undang-undang khusus untuk kecerdasan buatan (AI) akan dibawa ke peringkat Kementerian Digital akhir bulan ini.
Perkara itu dinyatakan Menteri Digital Gobind Singh Deo apabila diminta mengulas berkaitan kemungkinan untuk mewujudkan undang-undang baharu berkaitan AI yang kini dalam proses perbincangan bersama Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).
“Kementerian Digital telah pun melihat tentang aspek mewujudkan undang-undang yang melihat kepada AI. Ia pun telah kita bincang sejak 6 bulan lalu. Pihak kementerian telah mengadakan dialog dengan pemain industri untuk mendapatkan pendapat termasuk pandangan daripada agensi kerajaan dan kementerian lain," katanya.
"Kami akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat," jelas Gobind selepas merasmikan Segmen Bukan Warganegara Portal MyGovernment (Portal RAI) di KLIA, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan mencadangkan Malaysia perlu mewujudkan undang-undang AI bagi menangani ancaman yang semakin berkembang.
Jelas Azalina, satu surat telah dihantar kepada Menteri Digital bagi meneliti agar aspek perundangan berkaitan AI diteliti dan dibangunkan secara serius.
Pada masa ini hanya Kesatuan Eropah (EU) mempunyai undang-undang AI yang terperinci menerusi Akta AI Eropah dan Malaysia boleh meneliti akta tersebut sebagai rujukan untuk diaplikasikan mengikut kesesuaian konteks tempatan.