PUTRAJAYA, 17 Jun – Kementerian Luar Negeri menasihatkan semua rakyat Malaysia yang berada di Iran supaya meninggalkan negara tersebut dengan serta-merta, susulan ketegangan yang semakin memuncak berikutan tindakan agresif rejim Israel ke atas Iran, Jumaat lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan situasi keselamatan di Iran kini sangat tidak menentu dan berpotensi untuk menjadi lebih buruk pada bila-bila masa tanpa sebarang amaran awal.
“Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan kementerian ini. Rakyat Malaysia dinasihatkan agar segera keluar dari Iran menggunakan apa jua kaedah selamat dan tersedia,” menurut kenyataan tersebut.
Kedutaan Besar Malaysia di Tehran kini sedang memantau rapi perkembangan semasa dan telah berhubung secara berterusan dengan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di negara itu.
Kementerian mengesahkan, kesemua mereka berada dalam keadaan selamat dan telah dimaklumkan untuk segera pulang ke tanah air.
Bagi memudahkan urusan kepulangan, Kedutaan Besar Malaysia akan terus menyediakan bantuan konsular yang diperlukan, termasuk dalam proses perjalanan dari Tehran.
Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, Wisma Putra telah mengaktifkan Bilik Gerakan bermula hari ini bagi memantau perkembangan semasa dan memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang terlibat.