fb fb fb fb fb

Syor terap elemen ilmiah kepada pelajar untuk beri pemahaman isu Palestin

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dalam sidang media ketika menghadiri Konvensyen AMK Zon Utara di Pen Mutiara di Batu Maung

GEORGE TOWN, 29 Oktober- Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim mencadangkan penerapan elemen ilmiah dan intelektual di sekolah kepada pelajar dalam usaha memberi pemahaman sebenar terhadap isu di Palestin.

Tegasnya, perkara tersebut penting bagi mengelakkan tafsiran dan gambaran tidak tepat diterima pelajar.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, inisiatif kerajaan menganjurkan program Minggu Solidariti Palestin di sekolah merupakan satu usaha yang baik.

Bagaimanapun, ia perlu diteliti khususnya di peringkat pelajar yang masih kabur mengenai isu terbabit.

"Saya cadangkan supaya peringkat sekolah pertama sekali diterapkan misalnya mereka perlu diberi peluang untuk menelaah, meneliti menulis dan mendedahkan diri dengan bahan media yang menggambarkan situasi sebenar supaya lebih menghayati maksud solidariti dan setiakawan,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Konvensyen AMK Zon Utara di Pen Mutiara di Batu Maung, semalam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE