fb fb fb fb fb

Sewa rumah murah, faktor majikan tempatkan pekerja warga asing di Nilai

Menteri Besar Negeri Sembilan, yang juga merupakan Pengerusi JKKN negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun meyertai Operasi Bersepadu 'Op Sabong' Agensi-Agensi Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Sembilan 2023 di Nilai

NILAI, 29 Oktober- Kehadiran warga asing yang semakin bertambah di Nilai, Negeri Sembilan didapati merupakan pekerja dari negeri jiran. 

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun, rata-rata majikan menempatkan warga asing di daerah itu dengan alasan kadar sewaan yang lebih murah berbanding di negeri mereka.

"Saya mohon kerjasama dari ejen-ejen pekerja asing ini supaya mengikut peraturan, kita akan selalu buat operasi sebegini bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Kita tidak mahu mereka jadikan Nilai ini sebagai tempat menghantar pekerja, meletakkan pekerja awal sebelum dihantar ke tempat yang lain,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu 'Op Sabong' Agensi-Agensi Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Sembilan 2023 di Nilai. 

Dalam operasi itu, lebih 900 warga asing diperiksa dan 70 tangkapan telah dibuat atas pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen menerusi 17 Operasi yang dijalankan selama lima hari.

Dua daerah menjadi lokasi tumpuan serbuan pihak berkuasa iaitu Seremban dan Nilai.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE