fb fb fb fb fb

Syarikat terbabit pencemaran Sungai Johor bakal berdepan pendakwaan

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 2 November - Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan tindakan perundangan akan diambil terhadap sebuah syarikat yang dikaitkan dengan insiden pencemaran Sungai Johor pada 31 Oktober 2025, sekiranya didapati melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan Field Citation (FC) kepada syarikat berkenaan untuk mengemukakan laporan terperinci mengenai kerja-kerja penambahbaikan benteng kolam takungan yang pecah hingga mencemari aliran Sungai Johor.

“Selain itu, syarikat tersebut turut diarahkan melaksanakan pemantauan berterusan terhadap semua kolam takungan yang beroperasi bagi memastikan tiada kejadian pencemaran berulang,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Berdasarkan semakan JAS, kegiatan pengambilan pasir oleh syarikat terbabit tidak tertakluk kepada Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kerana melibatkan kawasan kurang daripada 20 hektar.

Namun jabatan itu akan memastikan tiada lagi aliran air berlumpur atau bahan pencemar memasuki sistem sungai berhampiran selepas kerja pembaikan selesai.

“Mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran alam sekitar boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, bergantung kepada kesalahan. Sehubungan itu pengusaha seperti perlombongan dan perindustrian mesti melaksanakan langkah kawalan pencemaran yang berkesan terutama semasa musim hujan,” menurut kenyataan itu lagi.

EZA YUSMAWATI YAACOP