fb fb fb fb fb

Syarikat pengendali Touch n Go diberi tempoh sehingga Mac, selesaikan aduan pengguna

KLUANG, 29 Januari- Syarikat pengendali Touch n Go diberi tempoh sehingga awal Mac ini bagi menyelesaikan beberapa aduan yang dibangkitkan oleh pengguna, termasuk sistem pembayaran baharu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata tempoh yang diberikan itu relevan untuk pihak syarikat memperbaiki sistem sedia ada.


(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,
Datuk Seri Salahuddin Ayub)

Beliau akan memanggil semula pihak syarikat Touch n Go selepas tempoh diberikan itu tamat dan mengambil tindakan sekiranya tiada perubahan dibuat.

Selain itu, beliau meminta pihak syarikat memastikan isu kad Touch n Go baharu, NFC di pasaran dapat diselesaikan.

"Saya juga sangat risau dengan isu kad NFC RM10.00 yang sukar didapati tetapi harga RM40.00 ada pula. Saya telah minta pihak Touch n Go buat lambakan segera terutama di stesen petrol di lebuh raya atau tempat yang perlu kerana rakyat amat memerlukannya", katanya.

Datuk Seri Salahuddin turut mengambil inisiatif sendiri menjalankan siasatan di stesen-stesen minyak berkaitan penjualan kad NFC.

Dalam pada itu, KPDN juga mengalu-alukan sebarang aduan berkaitan penjualan kad NFC yang melebihi harga di pasaran oleh individu tidak bertanggungjawab.

Media Baharu