fb fb fb fb fb

Pertemuan KPDN dengan syarikat telekomunikasi minggu depan

KLUANG, 29 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi besar dalam negara, minggu hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pertemuan itu bagi membincangkan mengenai mutu perkhidmatan telekomunikasi ketika ini.

"Gangguan itu kadang kita bercakap talian putus, kemudian kita ditawarkan dengan Wifi yang tidak bermutu. Jadi saya akan panggil mereka ini pada minggu hadapan dan syarikat-syarikat ini perlu menjawab persoalan yang rakyat buat aduan kepada kita.

"Ini juga isu pengguna yang telah sampai ke pengetahuan saya dan menjadi tanggungjawab saya untuk memanggil syarikat-syarikat ini untuk memberikan penjelasan," katanya.

(Datuk Seri Salahuddin Ayub)

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Pusat Banjir Jabatan Kemajuan Orang Asli, di sini hari ini.

Menurutnya, aduan yang diterima pihak KPDN bukan sahaja melibatkan gangguan talian di luar bandar tetapi juga kawasan bandar.

Selain melibatkan caj dikenakan syarikat yang tidak setimpal dengan mutu perkhidmatan ditawarkan.

Salahuddin juga belum memutuskan sama ada pertemuan diadakan secara serentak atau berasingan dengan syarikat telekomunikasi terbabit.

Media Baharu