PUTRAJAYA, 7 November- Syarikat pengendali bas ekspres membabitkan insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja di Pulau Pinang, bakal berdepan tindakan digantung permit operasinya.
Tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, keputusan itu berikutan syarikat berkenaan, gagal audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).
Jelasnya lagi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan merujuk perkara terbabit kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan selanjutnya.
"Audit ICOP memang telah buat, memang mereka gagal. JPJ akan merujuk kepada APAD, sebab untuk tindakan penggantungan adalah dibawah APAD.
Jadi APAD akan keluarkan surat tindakan kepada mereka untuk satu tempoh tapi dalam tempoh itu, mereka boleh buat rayuan kepada pihak Pejabat Menteri", katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas terdiri daripada JPJ, APAD, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), PUSPAKOM dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia, (SIRIM).