fb fb fb fb fb

Syarikat maritim abai aspek keselamatan hingga pekerja maut, didenda RM50,000

 

IPOH, 24 Januari - Sebuah syarikat maritim didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengabaikan aspek keselamatan sehingga mengakibatkan seorang pekerjanya maut pada tahun 2019.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Hidayatullah Mohamed Yusof selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes 'prima facie' bagi semua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan sebagai majikan didakwa telah gagal untuk memastikan pengadaan sistem penangkapan jatuh (fall arrest system) bagi kerja-kerja memasang hanging scaffold sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada pekerjanya seorang warganegara Bangladesh, Kamal Hossein berusia 42 tahun.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh pada 17 Julai 2019 di SUL02 Gantry Crane, Jeti Lekir Bulk Terminal, Pulau Lekir Satu, Jalan Teluk Rubiah Seri Manjung kira-kira pukul 12:20 tengah hari.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM 50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Perak, Devyclay Plus manakala tertuduh diwakili peguam Tajuddin Razak.

 

Media Baharu