fb fb fb fb fb

Syarikat konglomerat China mahu labur RM820 juta bangunkan pusat R&D di Johor

Rianlon Corporation, peneraju global dalam penghasilan bahan tambahan antipenuaan untuk polimer dan kosmetik, menyatakan komitmen pelaburan di Malaysia ketika pertemuan bersama Perdana Menteri di Tianjin. Foto- Facebook Anwar Ibrahim

TIANJIN, 1 September - Syarikat Rianlon Corporation dari China menyatakan komitmen untuk melabur sebanyak 820 juta ringgit di Malaysia bagi membangunkan kilang serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu dinyatakan syarikat berkenaan dalam pertemuan bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Li Haiping serta Ketua Pegawai Teknologi, Sun Chunguang.

Beliau menjelaskan, Rianlon Corporation merupakan antara peneraju global dalam penghasilan bahan tambahan antipenuaan untuk polimer dan kosmetik.

Katanya, pelaburan itu akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan syarikat China Communications Construction Company Limited (CCCC) bagi meneliti perkembangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya, projek ECRL kini menjadi lambang persahabatan Malaysia-China di bawah inisiatif Belt and Road Initiative (BRI).

Jelasnya, projek itu bakal merapatkan jurang pembangunan wilayah serta membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan MADANI akan terus berusaha merancakkan pelaburan, memperkasakan sektor berteknologi tinggi dan memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-China.

Usaha berkenaan diyakini akan membuka lembaran masa depan yang lebih gemilang untuk rakyat.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN