KUALA LUMPUR, 1 September - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan pembangunan negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) dijangka memberi impak besar kepada ekonomi, khususnya sektor pembuatan dan pertanian.
Dekan Fakulti Pengkomputeran dan Multimedia Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Dr. Saifuddin Mohtaram berkata kedua-dua sektor itu bakal menerima manfaat utama apabila elemen AI digunakan untuk meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan hasil serta mengurangkan kos.
“Kita lihat yang mungkin dapat kesan langsung contohnya kepada sektor berkaitan pertanian kerana selepas ini kita akan lihat lebih banyak perkembangan yang dipanggil sebagai pertanian pintar dan sebagainya. Disamping itu sektor-sektor lain yang mungkin dapat kesan tidak langsung seperti sektor pendidikan dan perubatan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Biz Malaysia di TV1.
Menurutnya, penggunaan AI juga dapat dimanfaatkan oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan membantu mengurangkan kos operasi serta mengatasi kekangan modal dan kepakaran.
“Melalui konsep AI sebagai perkhidmatan, PKS boleh menggunakan teknologi ini dengan hanya mengakses perkhidmatan berasaskan awan tanpa perlu membangunkan infrastruktur sendiri atau menggaji jurutera pakar. Malah, persatuan PKS juga boleh mewujudkan konsortium untuk berkongsi sumber dan kepakaran sekali gus meningkatkan daya saing mereka,” jelasnya.
Dr. Saifuddin menegaskan, sokongan kerajaan dalam bentuk insentif khusus diperlukan agar PKS dapat mempercepatkan penggunaan AI, sekali gus meningkatkan daya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.