BANGI, 27 Julai - Syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres yang belum menyelesaikan saman kompaun diberi tempoh selama sebulan untuk meyelesaikan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata sekiranya tiada tindakan atau sebarang penyelesaian daripada tempoh bermula 9 Julai lepas, pihak JPJ akan mengambil tindakan menyenaraihitam kenderaan bawah syarikat mereka termasuk kesukaran dalam memperbaharui cukai jalan.
"Kita sudah mula menyenaraihitamkan kenderaan-kenderaan yang gagal memberi respons dan menyelesaikan saman.
"Sekiranya saman diselesaikan, kita tiada masalah untuk mengeluarkan mereka daripada senarai tersebut. Proses ini dilakukan di peringkat JPJ dan tujuannya bukan untuk menghukum, tetapi bagi memastikan kenderaan terlibat tidak berada di atas jalan raya tanpa mematuhi undang-undang.
"Contohnya, jika disenarai hitam, mereka tidak boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM). Jadi, mereka perlu selesaikan saman terlebih dahulu sebelum kita buka semula sekatan bagi membolehkan mereka perbaharui LKM," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Hari Keluarga JPJ (HKJPJ) 2025 di Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Mengenai saman bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) Datuk Aedy Fadly memaklumkan; saman tersebut boleh diselesaikan pada kadar rata RM150 hingga 31 Disember depan bagi memberi peluang orang ramai menyelesaikan saman tersebut.