MUAR, 27 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan negara yang dikejar tidak seharusnya menyebabkan hak rakyat dirobohkan, sebaliknya mesti berteraskan prinsip keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan keadilan sosial.
Jelas beliau, erti sebenar kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga merdeka dari segi pemikiran, keadilan ekonomi dan integriti kepimpinan.
“Jangan kita membangun, tetapi dalam masa sama merobohkan, itu bukan pembangunan. Kita bangunkan gedung, teknologi, ekonomi zon, tapi rakyat ditekan dan terus hidup susah. Itu bukan kemajuan sebenar,” katanya ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 di sini, hari ini.
Perdana Menteri mengaitkan konsep “Ummatan Wasata” seperti yang ditekankan dalam al Quran, sebagai asas penting dalam membina negara iaitu sebuah masyarakat yang seimbang dalam semua aspek, rohani dan jasmani, duniawi dan ukhrawi serta pemikiran dan akhlak.
Dalam konteks pelaburan dan hutang negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmennya untuk memastikan setiap sen dibelanjakan dengan bertanggungjawab dan tidak membebankan generasi akan datang.
Beliau turut menegaskan bahawa hutang hanya wajar jika digunakan untuk projek-projek rakyat seperti Felda atau pembangunan luar bandar bukan untuk membiayai gaya hidup mewah segelintir pemimpin.
"Pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak, beliau sebagai Perdana Menteri berhutang, tetapi hutang itu diambil daripada Bank Dunia untuk membangunkan FELDA dan projek luar bandar.
"Hutang seperti ini, kita boleh terima kerana tujuannya jelas untuk membangunkan rakyat. Saya tak rasa susah, tak mengapa, sebab kita tahu pemimpin ketika itu berhutang demi rakyat. Tapi kalau berhutang untuk disalahguna, untuk 'sakau', inilah yang kita tentang sekarang," tegas beliau.
Majlis tersebut turut dihadiri, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.