GUA MUSANG, 4 April- Syarikat perkhidmatan bas ekspres, Konsortium E-Mutiara Berhad akan menyediakan 100 perjalanan sehari bagi menampung keperluan perantau Kelantan untuk pulang ke kampung halaman menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, 30 perjalanan bas ditambah kerana berlaku peningkatan jualan tiket membabitkan waktu puncak bermula 14 April sehingga malam Hari Raya Aidilfitri.
"Sebelum ini jadual perjalanan hanya membabitkan sebanyak 70 perjalanan dalam sehari di seluruh negara.
Jadi untuk tahun ini permintaan bermula dari 14 April sehingga malam raya, amat tinggi sebab cuti sekolah awal," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat di Hentian Gua Musang, di sini.
(Che Ibrahim Che Ismail, Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad)
Sebanyak 315 penerima asnaf termasuk anak yatim, pelajar dan ibu tunggal menerima sumbangan berkenaan.