AYER KEROH, 18 Disember - Melaka masih meneliti syarat serta prosedur permohonan lanjutan waktu operasi pusat hiburan melibatkan premis yang beroperasi sehingga pukul 2 pagi.
Exco Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin menjelaskan langkah itu diambil bagi mengawal masalah sosial di Melaka memandangkan terdapat laporan berkenaan operasi pusat urut tradisional, pusat hiburan dan sukan yang mengelirukan masyarakat.
"Semua pusat hiburan sama ada kedai makan yang memerlukan lesen hiburan atau pusat-pusat hiburan berkonsep sukan dan sebagainya,"katanya selepas Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MPHTJ 2035 (Penggantian) di sini.
Sebelum ini, Jawatankuasa Lesen Hiburan Negeri Melaka akan meneliti permohonan untuk melanjutkan waktu operasi perniagaan dalam kawasan Melaka Raya sehingga pukul 2 pagi manakala di luar kawasan berkenaan kepada pukul 12 tengah malam.
Ini bagi membantu merancakkan ekonomi negeri terutama untuk Program Melaka Bila Larut Malam.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan agar Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dapat dinaik taraf kepada Majlis Bandaraya.