KUALA LUMPUR, 20 Ogos- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Syarahan Negarawan 2024 bagi memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat kebangsaan.
Menurut Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed, menariknya penganjuran kali ini adalah kerana Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar diundang sebagai tokoh pembicara Syarahan Negarawan.
"Objektif utama Syarahan Negarawan yang ketiga ini, tujuan kita adalah untuk mengangkat evolusi parlimen yang telah ditulis oleh Tun sendiri, TYT kita. Ini supaya rakyat tahu tentang perkembangan dalam evolusi parlimen dan bagaimana ia diterapkan dalam negara kita."
"Itu yang kita nak masyarakat tahu berhubung perkembangan tersebut," kata Mohd Salahuddin kepada pemberita selepas Program Syarahan Negarawan dan Bicara Buku di ibu negara.
Syarahan Negarawan itu merupakan acara tahunan yang dilaksanakan sejak tahun 2017.
Tambahnya, program kali ini turut mempromosikan buku Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia yang diterbitkan oleh DBP pada 15 Januari lalu.