fb fb fb fb fb

Syahadah 2022 kembali dengan tema Hijrah

(Syahadah 2022 diharap mampu memberi manfaat dan membudayakan ilmu kepada setiap penonton)

KUALA LUMPUR, 31 Mac - Program kegemaran ramai di RTM "Syahadah 2022" kembali lagi dengan menjanjikan kelainan Ramadan ini.

Bertemakan 'Hijrah', program musim ke-16 ini bakal memaparkan kisah dan cara hidup Islam di seluruh negara.

Pelbagai kreativiti ditonjolkan berdasarkan enam zon berbeza iaitu Utara, Selatan, Pantai Barat, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Menurut Penerbit dan Pengarah Syahadah Zon Sarawak Suhanis Shahaini, antara kelainan didedahkan merangkumi pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak yang jarang diketahui ramai.

"Kalau sebelum ini Syahadah kita lakukan di luar negara jadi kita banyak mengambil tentang sejarah di negara lain tetapi kali ini yang istimewanya kita lakukan di negara ini.

"Kita suntik beberapa elemen baharu seperti drama melalui daripada komposisi visualnya, dari segi penataan seni, jadi perkara ini dapat memberi satu nafas baharu kepada dokumentari Syahadan ini," katanya kepada RTM.

(Suhanis Shahaini)

Suhanis berharap, program ini mampu memberi manfaat dan membudayakan ilmu kepada setiap penonton.

"Kami berharap agar penonton dapat apa yang kami cuba sampaikan, nampak apa itu keindahan Islam, kejayaan orang Islam, kejayaan Islam di mata masyarakat," katanya.

Syahadah 2022 mula bersiaran pada 3 April pukul 6.30 petang di TV1, 8.30 malam di saluran berita RTM dan 9.30 malam di TV Okey.

Media Baharu