MELAKA, 23 Januari- Kawasan-kawasan tumpuan pelancong di Banda Hilir diberi keutamaan oleh syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam SWM Environment Sdn Bhd (SWM) sepanjang cuti Tahun Baru Cina (TBC) nanti.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, sekitar kawasan Jonker Walk dan Bangunan Merah akan diberi fokus.
Turut diberi perhatian, beberapa lokasi pantai dan rekreasi sekitar Melaka.
Operasi pembersihan akan dilaksanakan bermula pukul 4.00 petang hingga 1.00 pagi pada 29 Januari hingga 2 Februari.
Sementara itu, kutipan sisa domestik dan pukal sepanjang tempoh itu tetap berjalan seperti biasa mengikut jadual ditetapkan.
Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan untuk menguruskan sampah di kediaman masing-masing dengan berhemah.
Dalam pada itu, sempena Tahun Baru Cina, SWM Environment menghulurkan sumbangan kepada 1,000 penerima memerlukan di seluruh Melaka.