(Ulf Kristersson/AFP)
STOCKHOLM, 1 Ogos- Kerajaan Sweeden berhasrat untuk memperhebatkan kawalan sempadan berikutan keadaan keselamatan yang semakin meruncing susulan perbuatan biadab pelampau membakar kitab suci Al-Quran.
Perdana Menteri, Ulf Kristersson berkata, keputusan rasmi untuk meningkatkan kawalan sempadan dijangka akan diumumkan pada Khamis ini.
Minggu lalu, Sweden mengarahkan 15 badan kerajaan termasuk angkatan tentera, beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang dan pejabat cukai untuk mengukuhkan usaha anti keganasan.
"Pihak atau individu (pengembara) yang tidak mempunyai 'pertalian' (urusan) dengan Sweden tidak sepatutnya datang ke negara ini, semata-mata untuk melakukan jenayah," katanya pada sidang media hari ini.
Insin lalu, dua lelaki Iraq iaitu Salwan Momika dan Salwan Najem telah membakar kitab suci umat Islam itu pada protes di hadapan parlimen Sweden.
Ia merupakan tindakan biadab terbaharu oleh kedua-dua mereka yang sebelum ini dilakukan di luar masjid utama dan kedutaan Iraq di Stockholm.
Tindakan itu seterusnya mendorong tunjuk perasan di Iraq apabila kedutaan Sweden di Baghdad diserbu dan dibakar sebanyak dua kali.
Terdahulu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berpangkalan di Jeddah menyuarakan kekecewaan terhadap Sweden dan Denmark kerana tidak mengambil tindakan atas pembakaran kitab suci Al-Quran yang berlaku berulang-kali.
Kedua-dua negara itu sebelum ini ada menyatakan kekesalan dengan insiden terbabit, namun tidak berupaya menghalangnya di bawah peraturan yang melindungi kebebasan bersuara.
Kristersson pada Selasa lalu mengulangi bahawa kerajaannya sedang menilai sistem perundangan Sweden berkaitan permit perhimpunan awam.
Sementara itu, Denmark pada minggu lalu juga mengumumkan akan melihat semula undang-undang yang sesuai bagi melarang atau menghentikan protes melibatkan pembakaran kitab suci Al-Quran. -AFP
(Salwan Najem dan Salwan Momika sekali lagi membakar naskah yang didakwa
kitab suci Al-Quran di Sweden/AFP)