KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Mengintegrasi pendidikan keamanan dalam latihan ketenteraan seratau penting dalam usaha memastikan kestabilan dan keamanan yang berpanjangan di rantau ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pendekatan sedemikian adalah penting dalam landskap keselamatan yang kompleks ketika ini kerana campur tangan ketenteraan sering kali disertai dengan keperluan mewujudkan strategi bagi membina keamanan pasca konflik.
“Adalah penting pendidikan ketenteraan hari ini merangkumi konsep kritikal mengenai keamanan, prinsip kemanusiaan, hubungan sivil-ketenteraan dan usaha membina keamanan.
“Peranan pendidikan dalam pembinaan keamanan terutama dalam suasana pascakonflik boleh menyumbang secara signifikan ke arah penyatuan keamanan,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Ketua-Ketua Universiti, Kolej dan Institusi Pertahanan (ARF H-DUCIM) ke-25, di sini.
Tambah Mohamad, penganjuran ARF H-DUCIM ini merupakan medan sesuai untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran bagi membina keamanan sejagat.
“Melalui penyelidikan bersama, inisiatif pembiayaan dan program bergerak, kita boleh menambah baik biasiswa akademik mengenai wacana pembinaan keamanan. Kita juga mungkin memfokus kepada kerjasama serantau ke arah pembinaan keupayaan dan latihan,” katanya.