fb fb fb fb fb

SWCorp tutup tapak pelupusan sampah jadi tempat buangan beras

Anggota penguat kuasa SWCorp meletak papan tanda amaran di lokasi kejadian.

KUANTAN, 19 April- Tapak pelupusan sampah di Jalan Pintas Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau di Temerloh yang tular semalam susulan kes pembuangan barangan keperluan harian ditutup, hari ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, ia bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan kerana tapak pelupusan sampah itu dibina tanpa kebenaran.

Menurutnya, pihaknya bertindak menutup tapak pelupusan itu dengan memasang pita penghalang dan papan tanda amaran di lokasi kejadian.

"Tiada siapa pun boleh membuang mana-mana sisa pepejal terkawal di lokasi tidak dibenarkan. Lokasi yang dibenarkan kalau di kawasan Temerloh ini ada satu sahaja iaitu Belenggu Halt. Di tapak pelupusan Belenggu Halt sahaja yang digazetkan di bawah kita. Selain daripada itu adalah tidak dibenarkan.

"Kalau nak mohon pun perlu mendapat kelulusan JPS sendiri melalui SWCorp jadi ada dua perkara yang telah kita perolehi untuk siasatan awal. Pegawai kita telah berurusan dengan dengan pihak Felcra kerana tanah itu milik Felcra sendiri, jadi kita nak minta beberapa keperluan maklumat yang perlu diberikan kepada kita untuk kita melengkapkan siasatan," katanya pada sidang media di pejabat SWCorp Pahang di sini hari ini.

Dalam kes terbabit, Sharudin berkata, pelaku boleh didakwa mengikut pelaku boleh didakwa mengikut Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Akta 672) kerana melonggokkan sisa pepejal terkawal di kawasan yang tidak dibenarkan.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pelaku akan didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau boleh di penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu tular di media sosial gambar puluhan kampit, beras tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum.

Gambar itu mula tular selepas dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial Facebook dan Tik Tok yang kebetulan melalui jalan berkenaan dan menyebabkan netizen memberi komen negatif dan membuat pelbagai andaian mengenai kejadian itu.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, tampil mengaku bertanggungjawab atas perbuatan tersebut, selain memohon maaf atas kesilapan itu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI