fb fb fb fb fb

Bekas MP Kuala Krau mohon maaf isu tular babitkan beras dan barangan makanan dibuang

Timbunan beras yang dibuang dipercayai stok lama dan telah tercemar

TEMERLOH, 19 April- Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said memohon maaf susulan isu pelupusan barangan keperluan harian di tempat pembuangan sampah tidak berlesen berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur - Gunung Senyum, Temerloh seperti yang tular di media sosial, semalam.

Menerusi satu kenyataan beliau berkata, barangan antaranya beras, sardin dan tepung itu merupakan stok lama dan dibuang kerana telah tercemar.

Jelas beliau, barangan dapur tersebut disedia menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, pada tahun 2022, bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Kuala Krau.

Pada 5 April lalu, beliau telah menerima aduan daripada jiran yang menyatakan terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan dapur tersebut.

Hasil siasatan mendapati, terdapat beberapa ekor bangkai tikus di dalam stor berkenaan malah, beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk atau kutu beras.

Justeru, ia tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana telah tercemar.

Susulan itu, pihaknya telah mengambil tindakan dengan mengagihkan sebahagian daripada beras kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar, dan sebahagian lagi telah dilupuskan.

Beliau dalam pada itu mengambil tanggungjawab dan menzahirkan permohonan maaf di atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan berkenaan.  

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE