PETALING JAYA, 8 Mac- Seorang suspek warga tempatan berusia 33 tahun berjaya ditahan disyaki mencuri kenderaan lama dan terbiar di tempat parkir kenderaan di sekitar daerah ini khususnya menyasarkan perumahan di Taman Medan pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata suspek ditahan sepasukan polis Cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di tapak parkir lori berdekatan Taman Medan, Petaling Jaya ketika sedang mengangkat komponen kenderaan ke dalam sebuah lori.
(Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid)
Tangkapan dibuat keatas suspek dan pihak polis merampas sebuah motolori jenis Mitsubishi serta beberapa peralatan memotong komponen kenderaan termasuk beberapa komponen kenderaan yang telah dileraikan.
"Hasil pemeriksaan lanjut terhadap no. enjin serta no. chasis kenderaan yang telah dileraikan tersebut mendapati kedua-dua komponen kenderaan tersebut telah diganggu dan tidak sempurna. Modus operandi yang di gunakan suspek adalah memotong serta meleraikan kenderaan jenis lama yang ditinggalkan terlalu lama di kawasan Taman Medan. Suspek juga gagal memberikan keterangan berkaitan kenderaan yang telah dileraikan serta gagal menyerahkan sebarang dokumen berkaitan kenderaan yang telah dileraikan tersebut," katanya kepada media hari ini.
Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Dalam tempoh kajian dari Januari hingga Februari 2023, sebanyak sepuluh kes di laporkan hilang melibatkan kenderaan yang di parkir di tempat awam dalam tempoh jangka masa yang lama.
Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin berkata demikian pada sidang media tangkapan jenayah di IPD Petaling Jaya.