fb fb fb fb fb

Pesara tentera sertai projek rintis tanaman cili

MARANG, 8 Mac- Seorang bekas tentera, Mohd Azizul Zambri, 40 tahun menjadikan projek tanaman cili merah yang diusahakan secara fertigasi sebagai projek perintis di Kampung Pantai Ali, Marang.

Projek yang baru dilaksanakan akhir tahun lalu itu diharap dapat membantu mengubah landskap kehidupannya.

Menurut Azizul, bermodalkan RM40,000 sebanyak seribu polibeg digunakan sebagai permulaan di atas tanah terbiar di kawasan kampungnya.

Hasil pertama projek ini dijangka dapat dituai menjelang pertengahan bulan depan dengan anggaran sekitar dua kilogram sepokok.

Beliau memilih tanaman cili secara fertigasi kerana tempoh tuaian yang singkat dan mampu memberi pulangan lumayan.

Ia dijangka dapat mengeluarkan hasil sehingga empat kali ganda dalam tempoh 10 bulan.

"Yang paling orang cakap rumit penjagaan tapi saya cabar diri hendak buat dan saya sudah rasa sudah cabaran itu. Memang mencabar tapi hendak buat kena ada berani dan modal," kata Azizul.

"Pasaran memang untuk Terengganu. Macam kita tengok sekarang harga banyak main peranan. Daripada peraih kita kena faham baja mahal, lepas itu perlu ada modal untuk kos yang ditanggung sehingga hasil dapat dituai, " kata seorang lagi peserta projek cili, Hazim Fakhri Mohamud.

Pengarah Pertanian Negeri, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata usaha petani muda ini dapat memajukan industri agromakanan negeri ini.

"Apa yang berlaku di Terengganu sekarang, mereka hasilkan cili satu polibeg cili sehingga lebih 10 kilogram. Inilah saya kata kalau boleh kita kekalkan pertumbuhan cili ini sehingga tahap empat. Tempoh untuk sampai ke tahap empat stage 3-4, ambil masa 10 bulan," menurut Zulkepli Amin.

(Datuk Zulkepli Amin menyeru petani di Terengganu agar menyertai Program Ladang Kontrak bawah
FAMA bagi menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar)

Walaupun sektor agromakanan turut berdepan dengan pelbagai cabaran khususnya pascapandemik COVID-19, namun industri tersebut sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan

bagi memastikan jaminan bekalan makanan negara kekal utuh.

Ini termasuk menyediakan peruntukan dalam Belanjawan 2023 untuk pembangunan, tanaman jangka pendek dan panjang melibatkan lebih RM6 juta di negeri ini.

"Jabatan Pertanian akan buat perolehan membeli barang input seperti baja dan sistem pengairan. Mana-mana peserta tak cukup kelengkapan, inilah peranan pegawai kita berbincang dengan peserta apa yang kita boleh bantu," tambah beliau.

Zulkepli turut menyeru petani di Terengganu agar menyertai Program Ladang Kontrak bawah FAMA bagi menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar.

Ketika ini cili merah dijual pada harga RM12 sekilogram.

Media Baharu