fb fb fb fb fb

Suruhanjaya Pekerja Gig, PM mahu penubuhannya disegerakan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 1 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pekerja Gig Malaysia ditubuhkan segera.

Beliau berkata, suruhanjaya itu penting bagi memastikan pekerja sektor itu diberi perhatian sewajarnya.

"Penjawat awam ada KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), ada KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan Kesatuan CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam), jangan lupa MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia).

"Tetapi ada yang tidak diwakili langsung. Sebab itu Suruhanjaya Pekerja Gig Malaysia itu perlu dan minta disegerakanlah supaya diberikan perhatian yang lebih. Ia melibatkan pemandu-pemandu teksi yang sudah lama memberikan sumbangan, tapi tekanan perubahan masa", katanya.

Perdana Menteri menghargai penat lelah semua pekerja di pelbagai peringkat termasuk dalam ekonomi gig.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 yang bertemakan Pekerja KESUMA Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini. 

 

ROSLINA BINTI DIN