fb fb fb fb fb

CUEPACS mahu penjawat awam terus beri perkhidmatan terbaik, tingkatkan produktiviti

Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat

PUTRAJAYA, 1 Mei- Penjawat awam diseru mengekalkan produktiviti dan memberi perkhidmatan terbaik, selaras kenaikan gaji yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat berkata penjawat awam perlu terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menyampaikan perkhidmatan sekali gus memberi pulangan terbaik kepada rakyat dan negara. 

"Kenaikan gaji menggambarkan komitmen Perdana Menteri untuk menyegerakan sistem saraan penjawat awam dimuktamadkan lebih awal dan pada masa sama, pendapatan minimum juga ditingkatkan dengan melebihi RM2,000 sebulan supaya kami ada kelegaan dalam perbelanjaan."

"CUEPACS menyeru penjawat awam supaya pulangan dalam bentuk komitmen ini hendaklah dapat diberi lebih awal walaupun kenaikan digambarkan akan dilaksana pada Disember akan datang," kata Datuk Adnan kepada pemberita selepas Sambutan Hari Pekerja 2024, di sini.

Tambahnya, ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dimuktmadkan dengan segera dihargai seluruh warga perkhidmatan awam.

Penstrukturan semula gaji penjawat awam memberi peningkatan melebihi 13 peratus, memberi kelegaan kepada semua penjawat awam.

Bayangan gaji permulaan termasuk elaun tetap penjawat awam akan ditetapkan lebih RM2,000 sebulan berbanding RM1,700 ketika ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM