fb fb fb fb fb

Kerajaan Pahang akan pertimbang kenaikan gaji penjawat awam negeri

Foto FB Wan Rosdy bin Wan Ismail

KUANTAN, 1 Mei- Kerajaan Pahang akan mempertimbangkan kenaikan gaji penjawat awam di negeri itu selaras dengan kerajaan Persekutuan.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, keputusan itu bergantung kepada kedudukan semasa kewangan kerajaan Negeri.

Katanya, kerajaan negeri juga akan membawa perkara tersebut ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diambil tindakan.

"Kita akan bincangkan. Kita akan bincang kemudian. Kita akan tunggu pekeliling daripada kerajaan Persekutuan," katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Pahang di sini.
 
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut mengucapkan tahniah kepada penjawat awam Persekutuan yang bakal menikmati kenaikan gaji melebihi 13 peratus mulai Disember ini.

Beliau berharap menerusi kenaikan itu penjawat awam akan terus bersemangat, di samping dapat meningkatkan produktiviti bekerja.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan; menolak kebenaran semakan kehakiman yang dimohon 186 pekebun durian Musang King dari Raub, 24 April lalu.

"Kita harus menghormati keputusan mahkamah.

"Dan kerajaan negeri daripada dulu lagi menghormati keputusan mahkamah.

"Kalau kita melihat kepada sejarah bila dibenarkan 'review' (semakan) sebelum itu kan, kita akur.

"Kita terus tarik balik walaupun semasa itu penguatkuasaan sedang berjalan.

"Jadi saya harap kita kena menghormati mahkamah," katanya.

Berdasarkan rekod, mahkamah mendapati dan mengesahkan pekebun tersebut ialah penceroboh di tanah berkenaan dan tidak mempunyai locus standi iaitu hak di sisi undang-undang untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman tersebut.

Semalam, dua pekebun ditahan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menerusi Ops Sekat di Sungai Ruan, Raub kerana disyaki mengusahakan kebun durian Musang King secara haram.

Menurut UPNP, penahanan terbaharu itu tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa bukti yang kukuh.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM