fb fb fb fb fb

Suruhanjaya Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data dijangka ditubuhkan tahun depan

Menteri Digital, Gobind Singh Deo / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Kementerian Digital merancang untuk menubuhkan Suruhanjaya Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data (SKDKD) pada separuh pertama tahun hadapan.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata suruhanjaya tersebut akan memainkan peranan penting dalam mengawasi ekosistem data yang selamat dan memastikan aliran data yang produktif di negara ini.

“Saya telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pemain industri tertentu, dan kami bercadang untuk menubuhkan jawatankuasa data sementara terlebih dahulu. Jawatankuasa ini akan mengemukakan cadangan struktur mengenai bagaimana suruhanjaya ini harus diatur.

“Mesyuarat bersama pemain industri akan diadakan pada hari Isnin, dan saya berharap dalam tiga bulan akan datang, menjelang akhir tahun ini, kami akan memperoleh input yang diperlukan untuk menyediakan kertas kabinet bagi dibentangkan kepada semua menteri,” katanya selepas melancarkan Sidang Kemuncak Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2024 di sini.

Beliau berharap penubuhan SKDKD akan meletakkan asas kukuh untuk penggunaan teknologi secara selamat dan berkesan di Malaysia.

Gobind turut menyatakan bahawa Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dijangka dilancarkan pada pertengahan Disember depan bagi memperkukuh pembangunan teknologi negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN