KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Aspek kewangan memainkan peranan penting dalam memastikan penyelesaian mampan bagi mencapai kelestarian alam sekitar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menekankan bahawa kekuatan kewangan adalah kunci untuk membangunkan dasar yang lebih baik dalam pengurusan sumber hutan dan alam sekitar, terutama dalam menghadapi peralihan tenaga, konservasi biodiversiti dan usaha mengatasi pencemaran.
“Isu kewangan adalah sangat penting dalam peralihan ini, sama ada dalam soal peralihan tenaga, konservasi biodiversiti, atau menangani pencemaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus Ahli Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), di Bangsar.
Dalam sesi tersebut, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara ADFIM dan auctusESG, sebuah syarikat penasihat yang berpengkalan di India dan pakar dalam kewangan mampan, ESG, dan peralihan iklim.
Melalui MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam membina perkongsian strategik, memanfaatkan kepakaran kolektif mereka untuk menyokong institusi kewangan pembangunan (DFI) di Malaysia dalam memacu penghijauan sektor kewangan.
Kerjasama itu juga selari dengan usaha kementerian untuk mencapai matlamat iklim negara.