fb fb fb fb fb

Inisiatif pas My50 diteruskan dengan peruntukan RM216 Juta

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Kementerian Pengangkutan akan terus memperkasa inisiatif pas My50 susulan pengumuman Belanjawan 2025 yang lalu, dengan peruntukan sebanyak RM216 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pas pengangkutan awam tanpa had berharga RM50 itu akan diteruskan pada tahun hadapan, dengan sasaran seramai 226,000 pengguna setiap bulan.

“Kami memang mengalu-alukan lebih ramai pengguna untuk menyertai inisiatif pas My50 ini. Inisiatif ini bukan sahaja mampu menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, malah ia secara praktikal dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya ketika Taklimat Media Mengenai Operasi Rapid KL Pasca Belanjawan 2025 di Stesen LRT, Pasar Seni, di sini.

Loke turut meminta Prasarana Malaysia Bhd untuk segera melaksanakan penambahbaikan bagi mengintegrasikan pas My50 dengan aplikasi Touch & Go E-Wallet.

Ini bertujuan bagi mengurangkan kesesakan di kaunter dan memudahkan urusan tambah nilai serta pembaharuan pas yang boleh dilakukan secara dalam talian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN