fb fb fb fb fb

Surau Nurul Haq terima RM20,000 untuk beli van jenazah baharu

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menyampaikan replika cek bernilai RM15,000 kepada Surau Nurul Haq / Foto BERNAMA

KULAI, 6 September- Pejabat Parlimen Kulai menyumbang RM15,000 kepada Surau Nurul Haq, Kampung Sungai Sayong Satu, bagi membantu kariah surau memperoleh van jenazah baharu.

Ia bagi menggantikan van jenazah milik surau itu yang dicuri dan rosak teruk akibat kemalangan pada Khamis lepas.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, sumbangan itu turut dilengkapkan dengan RM5,000 daripada syarikat QR Oyes, menjadikan jumlah keseluruhan RM20,000.

“Surau ini sebenarnya mendapat sebuah van pada Disember lalu untuk dijadikan van jenazah, tetapi sebelum sempat digunakan, ia telah dicuri oleh seorang lelaki berumur 21 tahun.

Van itu kemudian terlibat kemalangan di Johor Bahru dan mengalami kerosakan total,” katanya semasa penyerahan sumbangan di surau berkenaan.

Sementara itu, pengerusi surau, Mohd Anuar Repan, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang.

“Terima kasih kepada semua, terutama YB dan juga syarikat yang sudi membantu untuk pembelian van jenazah baharu bagi kegunaan kariah dan masjid di kawasan ini,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, van jenazah berkenaan dicuri suspek berumur 21 tahun sebelum terbabit kemalangan pada hari sama.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN