KOTA KINABALU, 6 September - Seorang lelaki berusia 22 tahun meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah ketika menjalankan kerja pemasangan paip di kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS) petang tadi.
Menurut Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, mangsa tertimbus sedalam tiga meter ketika sedang menjalankan kerja penggalian.
"Insiden dilaporkan berlaku pada pukul 1.45 petang, dan pasukan bomba dari BBP Kota Kinabalu tiba di lokasi kira-kira 14 minit kemudian.
"Pasukan penyelamat yang terdiri daripada 12 anggota bomba bertindak menggali tanah dan berjaya mengeluarkan mangsa sebelum dibawa naik menggunakan stretcher.
"Namun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan. Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul pada pukul 2.50 petang," menurut kenyataan itu.