fb fb fb fb fb

Misi GSF ke Gaza kini dalam pelayaran ke Tunis

Zulfadhli Khiruddin / Foto MAPIM

KUALA LUMPUR, 6 September - Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza kini dalam pelayaran menuju Tunis, Tunisia, sebagai sebahagian daripada usaha flotila antarabangsa menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Zulfadhli Khiruddin berkata, sebagai langkah keselamatan, kesemua peserta diwajibkan menjalani latihan ‘non-violence’ iaitu latihan yang memberi fokus kepada prosedur operasi standard (SOP) sekiranya berlaku sebarang situasi berisiko semasa pelayaran atau ketika berdepan dengan sekatan.

"Latihan ini adalah wajib, dan sesiapa yang tidak dapat menghadirinya tidak dibenarkan menaiki kapal.

"Ia bukan sekadar sekali sahaja, sebaliknya latihan ini diteruskan setiap hari di atas kapal tanpa gagal, bagi memastikan semua peserta bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada RTM.

Beliau berkata, pasukan Sumud Nusantara kini sedang menuju ke Tunis dan dijangka tiba untuk pelancaran rasmi pada 7 September.

"Sementara itu Team B yang menghadapi beberapa isu teknikal, akan menyusul kemudian dan dijangka tiba sedikit lewat," katanya lagi.

Tambah beliau, misi pelayaran turut mencabar dengan keadaan laut bergelora serta angin kencang, namun semangat dan tekad pasukan tetap utuh.

"Kami mohon terus mendoakan keselamatan perjalanan kami serta kejayaan misi ini. Yang lebih penting, teruskan berdoa dan solidariti untuk saudara-saudari kita di Gaza dan Palestin yang setiap hari menghadapi penindasan rejim tanpa henti," ujarnya.

Sebanyak 24 kapal flotila kemanusiaan berlayar dari Pelabuhan Barcelona, menyatukan lebih 1,000 peserta dari 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia dalam misi mendesak pembebasan Gaza.

Misi kemanusiaan itu disertai Sekretariat Sumud Nusantara yang diterajui Cinta Gaza Malaysia (CGM), MAPIM Malaysia, Cinta Salam Malaysia serta beberapa badan bukan kerajaan lain.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM