fb fb fb fb fb

Surat kompaun RM500,000: Sanusi diminta beri penjelasan

GUAR CHEMPEDAK, 16 Julai - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahukan penjelasan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sama ada Menteri Besar Kedah itu telah menerima surat kompaun berjumlah RM500,000 berhubung dakwaan berlaku kecurian nadir bumi di Kampung Chong, Sik.

Menurutnya, kompaun tersebut dikeluarkan pada 4 Oktober tahun lalu oleh Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Mohd Fauzi Mustaffa yang dialamatkan kepada Pengerusi MBI (Perbadanan Menteri Besar Kedah), iaitu Sanusi.

Saifuddin turut mendedahkan, kejadian itu berlaku pada 24 September 2022, pukul 2.30 petang di Kampung Chong.

“Kamu Menteri Besar, kamu Pengerusi MBI, kamu dapat kompaun, surat itu bertarikh 4 Oktober 2022 bersamaan 8 Rabiulawal dialamatkan kepada Pengerusi MBI, kompaun di bawah Seksyen 246 Kanun Tanah Negara 1965, kejadian 2.30 petang pada 24 September, kejadian curi nadir bumi di Kampung Chong, Mukim Sik, Kedah,” katanya.

(Saifuddin ketika berucap pada Jelajah Perpaduan MADANI Peringkat Negeri Kedah
dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak, malam tadi)

Jelas Saifuddin, pendedahan itu hanya permulaan kerana akan ada lagi siri pendedahan dengan dokumen lengkap berhubung perkara itu.

“Kita percaya rakyat Kedah cerdik, jangan pernah pandang rendah kebjiaksanaan rakyat Kedah, yang ini yakinlah kita akan turun dan terangkan dengan elok dalam siri penerangan kita, mudah-mudahan paling kurang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (pada pilihan raya negeri) akan jadi kenyataan,” katanya.

Media Baharu